Nama Melayu/ Islam bagi Maria Huberdina Hertogh (1937 - 2009) adalah Nadra Maarof (Natrah). dia dibawa oleh Che Aminah,seorang penjual kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Natrah diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya - Adeline dan neneknya Nor Louisenya bersama Benny (siapa Benny tidak pula diketahui siapa Benny - mungkin adiknya dan apa pula terjadi kepada Benny ketika peristiwa Natrah berlaku. akan ku cari selepas ini). pada waktu itu, usia Natrah baru mencecah 5 tahun. penyerahan Natrah ini adalah diluar pengetahuan bapanya - Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana ditawan tentera Jepun.
Lapan tahun selepas itu, Natrah dibawa pulang ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang-orang Indonesia pada ketika itu menaruh perasaan benci yang teramat sangat kepada bangsa kulit putih yang dianggap penjajah.
Pada tahun yang sama juga, bapa Natrah - Sarjan Hertogh dibebaskan selepas peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Kerana itulah, usaha mencari Natrah di Bandung selepas pembebasannya gagal memandangkan ketika itu Natrah telahpun berada di Terengganu.
Walaupun Adeline dan Hertogh telah pulang ke Belanda selepas itu, usaha mereka untuk mencari Natrah tetap diteruskan melalui kenalan dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda. Mereka tetap akan berusaha untuk mendapatkan Natrah kembali.
Pada usia 12 tahun, iaitu pada tahun 1949 - Natrah telah ditemui oleh Penasihat British di Terengganu, Arthur Locke ketika Natrah sedang mengadakan pertunjukan senaman di padand Sekolah Perempuan Melayu Chukai. Pada tahun itu juga, Hertogh diberitakan tentang penemuan Natrah oleh polis Semarang.
Atas muslihat dan perancangan Hertogh, Natrah dibawa oleh Che Aminah ke Singapura dan Ketua Hakim Mahkamah telah mengarahkan supaya Natrah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura iaitu di Girls Homecraft Centre, York Hill (dikatakan tempat ini berdekatan dengan gereja).
Melalui peguam Encik Ahmad Ibrahim, Che Aminah telah membuat rayuan pembebasan Natrah dan kemenangan mereka membawa kepada kepulangan Natrah ke pangkuan Che Aminah pada tahun 28 Julai 1950.
Takut peristiwa akan berulang, akhirnya Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu Encik M.A Majid (yang menghulurkan bantuan kewangan untuk perbicaraan Natrah) di 139, Seranggoon Road, Singapura. Pada waktu itu usia Natrah menginjak ke 13 tahun dan Mansor Adabi berumur 22 tahun. Namun oleh kerana susuk tubuh Natrah dikatakan agar besar, maka mungkin perbezaan umur mereka nampak tidak ketara. walaubagaimanapun, perkahwinan ini tidak diiktiraf oleh undang2 Belanda/ British kerana mereka tidak membenarkan perkahwinan di bawah usia 18 tahun.
Menurut sumber penulis - Wikipedia - pada 2 Disember 1950, Ketua Hakim mengeluarkan perintah ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang negara Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah adakah Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam atau tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibu bapa tetapi penjaga. tiba-tiba daripada isu agama telah bertukar kepada isu penjagaan. dan mahkamah juga telah memberikan hak kepada bapa Natrah ke atas anaknya.
Oleh kerana itu, pada 12 Disember 1950, Mahkamah Sivil Singapura telah memerintahkan agar Natrah dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya berhak menentukan agama anutan Natrah. akhirnya Natrah pulang ke Belanda dan seterusnya dijadikan Katholik..sadisnya...
Bertitik tolak daripada peristiwa itu, Orang Melayu, India Muslim dan Keturunan Indonesia di Singapura merasa tercabar dan bertindak melakukan rusuhan pada tanggal 12 Disember 1950. rusuhan ini telah mengakibatkan 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera akibat pertempuran dengan tentera dan polis British. Kerana itu juga Singapura telah diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam.
watak-watak penting dalam pembelaan Natrah tentunya Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C Goho & Co. Karim Ghani, serta Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy (Presiden PAS ketika itu). Dr. Burhanuddin al-Helmy dikatakan menjadi dalang dalam rusuhan tersebut dan beliau telah ditahan di Pulau Sekijang, Singapura.
Menyusuri pula kisah Natrah selepas pulang ke Belanda, tidaklah seindah yang disangka. Hidupnya di sana terumbang-ambing. tidak pula dikisahkan bagaimana cara di dijaga oleh Adeline dan Hertogh (walaupun pada awal kepulangannya dikatakan Natrah masih lagi sembahyang 5 waktu dan masih berutus surat dengan Mansor Adabi).
terfikir pula apakah ini sahaja yang mampu dilakukan oleh Adeline dan Hertogh kerana kalau dilihat kepada perjuangan mereka untuk membawa pulang Natrah bermati-matian, hidup Natrah takkan terumang-ambing begitu. nasib Natrah di sana umpama tidak terbela. Kenapa saya katakan begitu? kerana menurut pengkisahan yang dibaca, Natrah dikatakan telah berkahwin dengan seorang bekas tentera yang menjadi tukang kayu (bagaimana Adeline dan Hertogh mencorakkan masa depan Natrah?). Ketika itupun namanya telah kembali kepada Bertha.
Dengan hidup dengan seorang tukang kayu dan mempunyai 10 orang anak, bagaimana survival hidup Bertha? kalau logik akalnya, tentulah hidup mereka ketika itu sangat susah. (Di mana pula Adeline dan Hertogh ketika itu? kalaulah mereka masih hidup, tidak bersimpatikah mereka dengan nasib Bertha, anak yang mereka perjuangkan selama ini?- tidak pula dikisahkan).
Mansor Adabi pula yang berpatah arang dengan Natrah telah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Zaitun Jahuri dan menjadi seorang guru dan peguam yang berjaya dengan kehidupan yang mewah.
kesinambungan kehidupan malang Bertha berterusan dengan tuduhan membunuh suaminya. walaupun Bertha dibebaskan dengan alasan latar belakang hidupnya, dia akhirnya bercerai juga. dikatakan Bertha telah merancang untuk membunuh suaminya bersama temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dengan membeli sepucuk pistol revolver. sebelum itu Bertha dikatakan merancang membunuh suaminya dengan menggunakan racun berwarna biru tetapi tidak berjaya. (soalan saya: kenapa Bertha ingin membunuh suaminya? tidak terungkap juga jawapannya dan saya tidak tahu nak mencari jawapannya di mana). rancangan pembunuhan Bertha ini berjaya dihidu oleh anaknya sendiri dan melaporkan kepada polis yang membawa kepada penangkapan Bertha.
Bertha diceritakan berkahwin dengan Tom Ballermans dan bercerai lagi 7 tahun kemudian.
Bertha kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat dan hidup (tanpa nikah) dengan Ben Pichel, seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan berkerja di pasar2 malam di Belanda dahulu.
di Amerika, Bertha pernah berkerja sebagai tukang masak, pengemas bilik hotel/ motel dan pencuci rumah/ bangunan. sungguh menyedihkan...
hinggalah akhirnya Bertha diberitakan meninggal dunia pada usia 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukimia.
post-penceritaan Natrah ~ selepas pemergiannya cukup memeritkan. dan jika penceritaan saya bermula dengan perkataan "Kalaulah Natrah tidak dibawa ke Belanda..." tentunya hidupnya tidak semalang dan setragis itu hinggakan ada yang mengatakan dia mengalami tekanan perasaan yang amat sangat.
saya terfikirkan tentang Adeline dan Hertogh dan perjuangan mereka yang pada pandangan saya hanyalah satu perjuangan yang remeh. kenapa? kerana mereka tidak membela nasib Natrah sebaiknya. Natrah hidup dalam kemiskinan, berkahwin dengan lelaki yang miskin, bermasalah dan hidup melarat. saya ingin sekali tahu,apa peranan Adeline dan Hertogh ketika proses pembesaran Natrah pada zaman remajanya. kalaulah sesiapa tahu kisahnya, ceritakanlah kepada saya.
adakah perjuangan Adeline dan Hertogh sekadar untuk merebut hak dan ego dan bukan untuk membela nasib?kalau melihat pada bermati-matiannya mereka ingin mendapatkan Natrah,ramai yang akan berkeyakinan yang sebagai ibu bapa kandung, tentu nasib Natrah akan terbela dan dia tentunya akan hidup bahagia.
APA YANG BERLAKU SEBENARNYA?
sungguh kisah Natrah ini tiba-tiba meresap ke dalam jiwa saya.membuat saya terfikirkan yang betapa manusia sanggup mati untuk mendapatkan haknya semula walaupun selepas itu mereka sendiri tidak tahu ke mana tujuan yang dikatakan hak itu ingin dibawa hidupnya. seperti Natrah ~ yang menjadi mangsa keadaan dan keegoan manusia.
Begitulah Natrah..
No comments:
Post a Comment